Anak bulan

Fasa Bulan mengikut kedudukan Bulan dalam orbit mengelilingi Bumi. Rajah ini dilihat dari atas Kutub Utara.
Gambar hasil simulasi komputer menunjukkan bulan sabit pertama yang kelihatan, salah satu definisi bagi anak bulan yang digunakan dalam beberapa kalendar lunar dan lunisolar.

Dalam bidang astronomi, anak bulan (Jawi: انق بولن) merupakan fasa bulan yang berlaku apabila Bulan, dalam gerakan orbit bulanannya mengelilingi Bumi, berada di antara Bumi dan Matahari, maka berada sebaris atau bersilangan dengan Matahari jika dilihat dari Bumi. Pada ketika ini, bahagian yang gelap (yang tiada cahaya matahari) bagi permukaan Bulan akan menghadap ke arah Bumi, maka, Bulan tidak kelihatan melalui mata kasar.

Anak bulan dalam makna aslinya adalah bulan sabit pertama yang kelihatan, iaitu setelah kesebarisannya dengan matahari. Ini lazimnya mengambil tempat di ufuk barat dalam waktu yang sekejap antara waktu terbenamnya matahari dan terbenamnya bulan, lalu masa dan tarikh kemunculan anak bulan ini akan dipengaruhi oleh kedudukan geografi pencerap. Bulan sabit pertama ini menandakan bermulanya bulan dalam beberapa takwim qamari seperti takwim Hijrah. Penggunaan ini juga ditemukan dalam beberapa takwim qamari-suria seperti takwim Ibrani. Namun dalam kalendar Cina, permulaan bulan dimulai dengan bulan gelap.

Anak bulan dalam bidang astronomi, atau juga disebut bulan gelap untuk mengelakkan kekeliruan, berlaku ketika kesebarisan dalam longitud gerhana dengan Matahari, iaitu apabila Bulan tidak kelihatan dari Bumi. Waktu itu adalah unik dan tidak bergantung kepada kedudukan, dan dalam keadaan tertentu, akan kebetulan dengan gerhana matahari.

Satu bulan sinod, iaitu tempoh masa yang diperlukan oleh Bulan untuk melengkapkan semua fasanya, ialah rata-rata 29.5306 hari (atau 29 hari, 12 jam, 44 minit, dan 3 saat). Namun, satu bulan sinod boleh berubah-ubah di antara 29.26 hingga 29.80 hari oleh kerana kesipian orbit Bulan yang disebabkan oleh graviti Matahari.


From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Tubidy