Anita Sarawak

Anita Sarawak
Kelahiran
Ithnaini binti Mohd Taib

(1952-03-23) 23 Mac 1952 (umur 72)
PekerjaanPenyanyi, pelakon, pengacara
Tahun aktif1956–2010
Pasangan
  • Mohamed Abdul Samad (k. 1972; c. 1976)
  • Broery Marantika (k. 1981; c. 1985)
  • James Dean Nicholson (k. 1995; c. 1999)
  • Mohammad Mahathir Abdullah (k. 2001)
IbuSiput Sarawak
BapaDato' S. Roomai Noor
Keluarga

Anita Sarawak (lahir 23 Mac 1952)[1] atau Ithnaini binti Mohd Taib merupakan seorang penyanyi kelahiran Singapura berketurunan Melayu (walaupun kampung halaman asalnya kesemuanya yang terletak di Malaysia seperti di Temerloh, Pahang, iaitu kampung sebelah bapanya, Dato' S. Roomai Noor dan juga Kuching, Sarawak serta Georgetown, Pulau Pinang, iaitu kampung sebelah ibunya, Siput Sarawak), dan pernah menerima anugerah dari "Asian Entertainment Establishment" kerana perkhidmatannya kepada industri hiburan. Selain daripada banyak anugerah piring emas yang diterimanya, Anita pernah juga dipilih sebagai 'Dewi Utama' (The Top Diva) di Asia.

Beliau juga adalah salah seorang penyanyi Melayu yang berjaya melahirkan album solo di setiap 4 dekad berbeza berturut-turut selain M. Nasir dan Allahyarhamah Sharifah Aini (1953 - 2014).[2]

Dilahirkan oleh seorang penerbit filem dan pelakon terkenal dan ibunda yang merupakan seniwati filem Melayu yang masyhur iaitu Allahyarham S. Roomai Noor dan Allahyarhamah Siput Sarawak. Ibubapanya berpisah apabila Anita berusia sembilan bulan. Dia merupakan anak tunggal hasil perkahwinan Roomai Noor dan Siput Sarawak,[3] mempunyai seorang kakak iaitu Allahyarhamah Murni Sarawak (1946 - 2016) dan 15 adik beradik angkat, termasuk pelakon dan bekas model terkemuka Noor Kumalasari.

Anita memulakan kerjayanya sebagai penyanyi sewaktu dia berumur lima belas tahun di Singapura. Ibundanya selalu mengiringinya. Akhirnya, Anita ditemui oleh EMI Records dan mencapai satu tempoh yang amat berjaya, mencatatkan satu kejayaan demi satu kejayaan dengan nyanyian solonya. Dia telah banyak kali menerima anugerah piring emas.

Setelah mencapai kemasyhuran di Asia, pada 1985 Anita meninggalkan Singapura untuk menuju ke Amerika Syarikat dan mengikat kontrak dengan Caesar's Palace di Las Vegas, sebuah hotel dan kasino yang termasyhur di dunia. Tanpa dirancang, kerjayanya di sana berlangsung selama hampir 20 tahun, satu rekod di Las Vegas.

Popularitinya disebabkan oleh usahanya dalam sentiasa mengubah gaya persembahan. Selain daripada mengimbangkan persembahan lagu-lagu klasik dan lagu-lagu sezaman, Anita juga terpaksa untuk sering menukar pemain-pemain muzik dalam pancaragamnya, American Dream, sesuatu tindakan yang amat dikesalinya. Bagaimanapun, Anita dibantu oleh pengarah muzik, Nate Wingfield, yang mempunyai reputasi yang dapat menarik pemain-pemain terbaik dalam dunia muzik.

Selepas hampir 20 tahun di luar negeri, Anita kemudian memutuskan pulang ke Singapura dan menetap di Kuala Lumpur untuk meneruskan kerjaya sebagai penghibur. Sebelum menerima tawaran menjadi hos TV di Malaysia, Anita banyak mengacarakan rancangan2 hiburan Inggeris dan Melayu di Mediacorp TV & SURIA CHANNEL di Singapura antaranya seperti :

  • Phua Chu Kang (Penampilan khas)
  • Speak of a Diva
  • Bersama Anita
  • Mahligai Kita

Bila ditanyai saatnya yang amat berbangga, Anita telah menujukan kepada empat peristiwa dalam kehidupannya, iaitu:

  • sewaktu dipilih sebagai 'Dewi Utama' (The Top Diva) di Asia;
  • sewaktu menerima anugerah dari Asian Entertainment Establishment kerana perkhidmatannya kepada industri hiburan;
  • mengendalikan rancangan temu bualnya di Astro; serta
  • kontrak perakamannya dengan KRU.

Kini, Anita mempunyai sitkom sendiri dan ingin menumpukan masanya dalam bidang filem. Selain daripada persembahan-persembahannya di hadapan penonton, dia amat sibuk dengan kerja amal. Bagaimanapun, Anita juga telah melancarkan barang kemas sendiri yang digelarkan "Anita Sarawak, Koleksi Cinta".

Anita sudah menghasilkan banyak album EP dan LP dari 1969 dalam bahasa Inggeris dan Melayu. Dalam tahun 1975 , Anita berduet dengan Ismail Haron, dan membentuk pasangan duet yang ideal ketika itu. Maka lahirlah album Ismail & Anita. Judul dan lagu-lagu di bawah ini adalah seglintir sahaja.

Pada tahun 2008, Anita telah diberi Anugerah OXCEL (The Oxford Centre for Leadership) Lifetime Achievement Award di OXCEL International Conference. Anugerah itu mengiktiraf kejayaan sebagai professional yang berjaya bukan sahaja di Asia tetapi juga di Las Vegas, USA.

  1. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-05-27. Dicapai pada 2008-01-17.
  2. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-10-09. Dicapai pada 2018-10-09.
  3. ^ Kak Nita Kenal Ayah Waktu 7 Tahun.[pautan mati kekal]

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Tubidy