Bunyi stereofonik

Bunyi stereofonik atau stereo ialah kaedah pengeluaran bunyi dengan menggunakan sekurang-kurangnya dua saluran audio melalui penyusunan pembesar suara secara simetri agar memperdengarkan bunyi dari pelbagai arah seolah-olah mendengar sekeliling secara semula jadi, berbanding dengan bunyi monaural atau "mono" iaitu audio dari satu saluran sahaja di pusat medan pendengaran (seumpama medan pendengaran).

Rakaman stereo digunakan untuk penyiaran FM dan Penyiaran Audio Digital (DAB) serta sesetengah sistem televisyen. Jurutera bunyi menggunakan pelbagai kaedah rakaman stereo, termasuk menggunakan sepasang mikrofon berarah, sepasang mikrofon semua arah yang disusun selari, atau mana-mana teknik yang lebih rumit. Sesetengah rakaman monofonik seperti rakaman asal Oklahoma! (1943), Carousel (1945), dan South Pacific (1949) oleh barisan pelakon Broadway, pernah sekali dikeluarkan semula dalam bentuk stereo "palsu" untuk memperdengarkan bunyi yang seolah-olah asalnya dirakam secara stereo.

Siaran stereo pertama dijayakan melalui sistem telefon oleh Clement Ader pada tahun 1881. BBC mengumandangkan siaran radio stereo pertama pada Disember 1925. Pada 1930-an, Alan Blumlein dari syarikat EMI mempatenkan piring hitam stereo, filem stereo, dan juga bunyi keliling.[1] Harvey Fletcher dari Bell Labs menyelidik teknik-teknik rakaman dan pengeluaran bunyi stereofonik. Filem wayang komersil pertama yang ditayangkan dengan bunyi stereofonik ialah Fantasia oleh Walt Disney (1940). Menjelang pertengahan 1950-an, bunyi berbilang saluran menjadi kebiasaan dalam pembikinan filem-filem Hollywood yang berbelanja besar.[2] Pada tahun 1953, Remington Records mula merakam sebilangan sesinya dalam stereo, dengan piring hitam stereofonik pertama yang dijual kepada awam pada tahun 1958. Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) Amerika Syarikat mengumumkan piawaian teknikal FM stereofonik pada April 1961, di samping melesenkan penyiar-penyiar FM stereo seharian yang dilancarkan pada tahun yang sama. Pada tahun 1984, bunyi televisyen berbilang saluran diterima pakai oleh FCc sebagai piawaian pemancaran televisyen stereo di Amerika Syarikat.

  1. ^ "Alan Blumlein—The Man who Invented Stereo". AbbeyRoad. Dicapai pada 2009-05-18. In his short life, Blumlein devised over 120 patents and is considered one of the most significant engineers of his time.
  2. ^ Contohnya, tiga daripada lima calon Anugerah Akademi untuk Filem Terbaik pada tahun 1955 dilengkapi bunyi berbilang saluran; begitu juga tiga dari lima calon pada tahun 1956.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Tubidy