Eukariot

Eukaryota
Julat zaman: OrosirianKini
Aneka makhluk eukariot
Pengelasan saintifik s
Domain: Eukaryota
(Chatton, 1925) Whittaker & Margulis, 1978
Superkumpulan dan alam

Eukaryotic organisms that cannot be classified under the kingdoms Plantae, Animalia or Fungi are sometimes grouped in the kingdom Protista.

Eukariot ialah sejenis organisma yang sel-selnya mengandungi struktur-struktur kompleks yang terlindung dalam membran. Eukariot dikenali secara formal dengan nama takson Eukarya atau Eukaryota. Struktur ikatan membran yang membezakan sel eukariot daripada sel prokariot ialah nukleus, atau sampul nukleus yang mengandungi bahan genetik.[1][2][3] Malahan, hidupan eukariot dinamai sedemikian kerana kehadiran nukleus ini (gabungan perkataan Yunani ευ eu "baik" dan κάρυον karyon "kacang" atau "inti").[4] Kebanyakan sel eukariot juga mengandungi lain-lain organel ikatan membran seperti mitokondria, kloroplas dan jasad Golgi. Semua spesies organisma eukariot yang besar dan kompleks merupakan eukariot, termasuk haiwan, tumbuhan dan kulat, namun kebanyakan spesies eukariot merupakan mikroorganisma protis.

Pembahagian sel dalam eukariot adalah berbeza dengan organisma tanpa nukelus (prokariot). Ia melibatkan pengasingan kromosom yang diduakan melalui pergerakan yang diarahkan oleh mikrotubul. Terdapat dua jenis proses pembahagian, iaitu mitosis yang mana satu sel berpecah kepada dua sel yang seiras secara genetik; dan meiosis yang diperlukan dalam pembiakan seks, iaitu satu sel diploid (dengan dua kromosom, satu dari setiap induk) menjalani pencantuman semula setiap pasang kromosom induk, kemudian dua peringkat pembahagian sel, maka terhasilnya empat sel haploid (gamet). Setiap gamet mempunyai hanya satu pelengkap kromosom, yang mana setiap satu kromosom ini merupakan campuran unik pasangan kromosom induknya.

Eukariot kelihatan sebagai monofiletik, dan oleh itu merupakan salah satu daripada tiga domain hidupan. Dua lagi domain, iaitu Bacteria dan Archaea, merupakan prokariot dan tidak memiliki ciri-ciri yang disebut di atas. Eukariot merupakan minoriti yang sangat sedikit di kalangan segala hidupan; dalam tubuh manusia pun terdapat 10 kali lebih banyak mikroogranisma berbanding sel manusia.[5] Namun demikian, disebabkan saiznya yang lebih besar, jumlah terkumpul biojisim sedunia eukariot dianggarkan lebih kurang setara dengan prokariot.[6]

  1. ^ Youngson, Robert M. (2006). Collins Dictionary of Human Biology. Glasgow: HarperCollins. ISBN 0-00-722134-7.
  2. ^ Nelson, David L.; Cox, Michael M. (2005). Lehninger Principles of Biochemistry (ed. ke-4). New York: W.H. Freeman. ISBN 0716743396.
  3. ^ Martin, E.A., penyunting (1983). Macmillan Dictionary of Life Sciences (ed. ke-2). London: Macmillan Press. ISBN 0-333-34867-2.
  4. ^ Douglas Harper. "eukaryotic". Online Etymology Dictionary.
  5. ^ Zimmer, Carl (13 Julai 2010). "How Microbes Defend and Define Us". New York Times. Dicapai pada 17 Julai 2010.
  6. ^ Whitman, Coleman, and Wiebe, Prokaryotes: The unseen majority, Proc. Natl. Acad. Sci. USA, Vol. 95, pp. 6578–6583, June 1998

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Tubidy