Fisabilillah

Fisabilillah merupakan gelaran dan sejenis perlakuan yang dianggap mulia dalam Islam. Sejak dahulu lagi Fi sabil Allah yang menjadi polemik Ada yang menyempitkan makna fi sabil Allah dan ada yang meluaskan pemahamannya. Perbincangan ini bukanlah hanya untuk menyenaraikan pendapat-pendapat yang bercanggah di antara ulama tetapi lebih kepada analisa yang kritis bagi memastikan kebenaran yang tulen yang perlu dipatuhi dan merupakan perbincangan yang melibatkan keharusan talfiq selagi sesuatu masalah itu masih kabur dan tidak nyata. Perbincangan juga melibatkan maslahah yang menjadi alasan dan senjata utama bagi mereka yang mengeluarkan hukum tanpa asas, tanpa memahami dengan mendalam maksud sebenar maslahah dalam Usul Al-Fiqh. Ramai golongan yang suka bercakap mengenai Fiqh tapi tidak didasarkan pada asas sebenar Fiqh itu iaitu usul Al-Fiqh. Realitinya amalan peluasan makna fi sabil Allah memang dipraktikkan di Malaysia tanpa diambil kira asas sebenar syariah. Pemberian zakat kepada mangsa bencana alam, adakah menepati makna fi sabil Allah atau tidak? Pendapat-pendapat ulama terhadap saham fi sabil Allah

A.Golongan yang menyempitkan makna fi sabil Allah.

Mazhab

Imam Abu Yusof berpendapat bahawa makna fi sabil Allah bermaksud tentera-tentera Islam yang tidak berkeupayaan menyertai perang disebabkan kemiskinan yang dialami, ini merupakan maksud yang mula terlintas di fikiran (al-Kasani 1997 : jil. 2,472).

Imam Muhammad al-Hassan pula berpendapat fi sabil Allah bermaksud orang yang tidak cukup kelengkapan menunaikan haji dengan beralaskan kepada satu hadis bahawa seorang lelaki hendak menyerahkan seekor unta untuk tujuan perang tetapi Rasulullah menyuruh beliau menyalurkannya untuk tujuan haji (al-Kasani 1997 : jil.2,472).

Al-Kasani dalam Badai’ al-sanai’ menjelaskan bahawa maksud fi sabil Allah adalah semua bentuk amalan mendekatkan diri dan ketaatan kepada Allah (Ibn ‘Abidin 1994 : jil.3,289). Ibn Nujaym dalam al-Bahr mengatakan bahawa unsur kefakiran mestilah ada pada setiap bahagian (Ibn Nujaim 1997 : jil.2,422).

Disyaratkan pemilikan harta zakat pada asnaf, maka tidak boleh disalurkan untuk pembinaan masjid, kafan serta pembayaran hutang mayat, pembinaan jambatan, terusan, pembinaan jalan, haji dan jihad yang tiada kaitan dengan pemilikan harta (Ibn Abidin 1994 : jil.3,291).

Ringkasnya ulama Mazhab Syafie mentakrifkan fi sabil Allah sebagai amalan-amalan yang mendekatkan diri dan ketaatan kepada Allah serta mensyaratkan wujudnya sifat kefakiran bagi bahagian fi sabil Allah kecuali bahagian amil dan berlakunya pemilikan harta, maka tidak harus disalurkan zakat pada pembinaan masjid, pembinaan jambatan, tali air, jalan dan sebagainya.

Mazhab Malikiyy

Ibn al-Arabi dalam Ahkam al-Quran meriwayatkan daripada Imam Malik bahawa maksud fi sabil Allah banyak maknanya, tetapi tiada perselisihan pendapat tentang makna perang pada jalan Allah (Ibn al-Arabi 1967 : jil.2,957).

Muhammad Ibn al-Hakam mengatakan bahawa zakat boleh disalurkan bagi mendapatkan binatang dan senjata bagi kegunaan perang, bagi menahan kemaraan musuh kerana semuanya untuk maslahah perang berhujahkan pada satu hadis yang menerangkan bahawa Rasulullah S.A.W pernah menyalurkan zakat dalam bentuk seratus ekor unta kepada jajahan kekuasaan Sahal Ibn Abi Hathmah bagi meredakan penentangan (Ibn al-Arabi 1967 :jil.2,957).

Al-Dardir menjelaskan dalam Syarh ala Matan Khalil bahawa zakat diberikan kepada tentera-tentera dan keperluan mereka seperti senjata dan kuda (pengangkutan), walaupun tentera itu kaya kerana ia menerima zakat melalui bahagian jihad bukan kefakiran. Diberikan juga kepada pengintip-pengintip walaupun seorang kafir tetapi tidak boleh disalurkan pada pembinaan benteng negara dan dalam perkara yang mempunyai kaitan sebahagian sahaja dalam perang.

Dalam tafsir al-Qurtubi dinyatakan bahawa maksud fi sabil Allah adalah tentera-tentera serta kelengkapan yang berkaitan sama ada miskin kaya dan ini adalah mazhab Maliki (al-Qurtubi 1996 : jil.8,172).

Ringkasnya, makna fi sabil Allah dalam Mazhab Maliki bermakna bagi tujuan peperangan, jihad dan yang berkaitan dengannya, tidak hanya tertakluk pada tentera tetapi lebih meluas pemahamannya merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan persediaan perang dan boleh disalurkan zakat walaupun pada orang kaya.

Mazhab Syafi’iyy

Al-Nawawi dalam Minhaj al-Talibin menjelaskan bahawa maksud fi sabil Allah bermakna tentera-tentera yang tidak menerima gaji daripada kerajaan, iaitu bermakna tentera yang sukarela menyertai peperangan (al-Nawawi 2000 : jil.2,403).

Al-Syafi’iyy menjelaskan dalam al-Umm bahawa bahagian fi sabil Allah disalurkan kepada tentera yang berada dalam kawasan sesuatu zakat yang disalurkan, sama ada pada yang kaya atau miskin kecuali diperlukan sebaliknya (al-Syafie 1993 : jil.2,97).

Ringkasnya, Mazhab Syafi’iyy memfokuskan makna fi sabil Allah hanyalah untuk jihad, tentera yang tidak menerima gaji dan yang berkaitan dengannya walaupun ia kaya.

Mazhab Hanbaliyy

Mazhab Hanbaliyy sama dengan Mazhab Syafi’iyy dalam mentakrifkan fi sabil Allah iaitu dengan makna tentera-tentera sukarela yang tidak menerima gaji daripada kerajaan atau yang menerima gaji tetapi tidak mencukupi keperluan mereka untuk berperang walaupun ia kaya. Al-Bahuti menjelaskan bahawa tidak harus disalurkan zakat selain daripada yang disebutkan oleh Allah seperti pembinaan masjid, jambatan, terusan, pembinaan jalan, kafan mayat dan semua bentuk kebaikan untuk keredaan Allah kerana lafaz امنإ dalam ayat zakat tersebut bermakna hanya (al-Bahuti 1982 : jil.2,283).

Terdapat dua riwayat Imam Ahmad berkaitan dengan haji :

1.Haji termasuk dalam fi sabil Allah berdasarkan pada hadis Umm Mi’qal al-Asadiyyah bahawa suaminya menyerahkan seekor unta untuk tujuan jihad tetapi beliau ingin menggunakannya untuk tujuan haji lantas meminta unta tersebut daripada suaminya tetapi enggan, maka perkara ini diadukan pada Rasulullah dan baginda memutuskan supaya diberikan pada Umm Mi’qal dengan sabda : “Haji dan Umrah itu termasuk fi sabil Allah”.

2.Haji tidak termasuk fi sabil Allah seperti pendapat majoriti ulama. Ibn Qudamah dalam al-Syarh al-Kabir menjelaskan bahawa ini lebih tepat kerana fi sabil Allah bermakna jihad merupakan maksud yang pertama terlintas di fikiran kerana sebahagian besar ayat al-Quran yang menggunakan perkataan sabil Allah membawa erti jihad, ini merupakan zahir ayat (Ibn Qudamah 1995 : jil.4,104).


From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Tubidy