Grafik komputer 3D

Grafik komputer 3D atau grafik komputer tiga dimensi (dibandingkan dengan grafik komputer 2D) merupakan grafik yang menggunakan data geometri (selalunya Cartesian) dalam representasi tiga dimensi yang disimpan dalam komputer untuk tujuan melakukan perhitungan dan mengolah imej 2D. Imej yang terhasil boleh disimpan untuk ditayangkan kemudian (sebagai animasi) ataupun dipaparkan secara masa nyata. Ini berbeza dengan filem 3D dan teknik seumpamanya kerana hasilnya tetap dua dimensi tanpa menghasilkan ilusi yang padu.

Grafik komputer 3D bergantung pada kebanyakan algoritma yang sama dengan grafik vektor komputer 2D dalam model rangka dawai dan grafik raster komputer 2D dalam paparan render akhir. Dalam perisian grafik komputer, aplikasi 2D boleh menggunakan teknik-teknik 3D untuk mencapai kesan-kesan seperti pencahayaan, dan begitu juga, 3D boleh menggunakan beberapa teknik perenderan 2D.

Objek-objek dalam grafik komputer 3D sering dipanggil model 3D. Tidak seperti imej yang dirender, data model terkandung dalam fail data grafik. Model 3D merupakan representasi matematik akan sebarang objek 3D; secara teknikal, model bukan grafik sehingga dipaparkan. Model boleh dipaparkan secara visual sebagai imej dua dimensi melalui proses yang dipanggil perenderan 3D, ataupun digunakan dalam simulasi dan perhitungan bukan grafik. Dengan pencetakan 3D, model dirender menjadi representasi fizikal 3D sebenar, tetapi ada hadnya sepersis mana padanan model fizikal dengan model maya.[1]

  1. ^ "3D computer graphics". ScienceDaily (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2019-01-19.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Tubidy