Hindia Belanda (bahasa Belanda: Nederlands-Indië) ialah sebuah wilayah jajahan Belanda yang diakui secara de jure dan de facto. Ketua negara Hindia-Belanda ialah Ratu/Raja Belanda dengan Gabenor Jeneral sebagai wakilnya yang berkuasa penuh.
Sempadan Hindia-Belanda dengan negara-negara berjirannya ditentukan melalui perjanjian-perjanjian antara Kerajaan Belanda dengan Kerajaan Sarawak (negeri naungan British di bawah Dinasti Brooke), Borneo Utara British (Sabah), Kerajaan Portugis (Timor Portugis), Empayar Jerman (Papua New Guinea Utara), dan United Kingdom (Papua New Guinea Selatan).
Hindia-Belanda juga merupakan wilayah yang tertulis dalam Undang-Undang Kerajaan Belanda tahun 1814 sebagai wilayah berdaulat Kerajaan Belanda yang dipinda pada tahun-tahun 1848, 1872, dan 1922, menurut perkembangan wilayah Hindia-Belanda.
Hindia-Belanda yang dahulu merupakan sebuah wilayah jajahan Belanda sekarang dipanggil Indonesia. Jajahan Belanda ini bermula sebagai Syarikat Hindia Timur Belanda (Vereenigde Oostindische Compagnie atau VOC) yang antara lain memiliki Jawa dan Maluku serta beberapa daerah yang lain sejak abad ke-17. Selepas VOC dibubarkan pada tahun 1798, semua hak miliknya dipindah kepada pemerintah Republik Batavia.
Menjelang tahun 1900, hanya pulau Jawa sahaja yang dikuasai oleh Belanda pada keseluruhannya. Kemudian pada tahun-tahun selanjutnya, semua daerah yang lain di Nusantara ditaklukkan atau didamaikan. Pada puncaknya pada tahun 1942, Hindia Belanda memiliki semua daerah Indonesia kini; Timor Timur tidak pernah dikuasai oleh Belanda. Selain itu, Kota Melaka, Taiwan, dan Sri Lanka pernah dikuasai oleh VOC dan pemerintah Belanda.
Pada 17 Ogos 1945, kemerdekaan Indonesia diisytiharkan. Belanda menentang dan memerangi para pejuang kemerdekaan. Hanya pada 27 Disember 1949 bahawa Belanda mengaku kedaulatan Indonesia. Papua Barat (Irian Jaya) masih dikuasai oleh Belanda sehingga tahun 1961.