Kerajaan Pertengahan Mesir (juga dikenali sebagai Tempoh Penyatuan Semula) ialah zaman dalam sejarah Mesir purba berikutan tempoh pembahagian kuasa politik yang dikenali sebagai Tempoh Perantaraan Pertama. Kerajaan Pertengahan berlangsung dari tahun 2050 hingga 1710 SM, yang membentang dari penyatuan semula Mesir di bawah pemerintahan Mentuhotep II pada Dinasti Kesebelas hingga akhir Dinasti Kedua Belas. Raja-Raja Dinasti Kesebelas memerintah dari Thebes dan raja-raja Dinasti Kedua Belas memerintah dari el-Lisht.
Konsep "Kerajaan Perengahan" sebagai salah satu daripada tiga "zaman kegemilangan" dicipta pada tahun 1845 oleh ahli kaji Mesir Baron von Bunsen, dan takrifannya berkembang secara signifikan sepanjang abad ke-19 dan ke-20.[1] Sesetengah sarjana juga memasukkan Dinasti Ketiga Belas Mesir sepenuhnya ke dalam tempoh ini, di mana Kerajaan Pertengahan berakhir sekitar 1650 SM, sementara yang lain hanya menyertakannya sehingga Merneferre Ay sekitar 1700 SM, iaitu raja terakhir dinasti ini yang dibuktikan memerintah kedua-dua Mesir Hulu dan Hilir. Semasa zaman Kerajaan Pertengahan, Osiris menjadi dewa terpenting dalam agama popular.[2] Kerajaan Pertengahan diikuti oleh Tempoh Perantaraan Kedua Mesir, satu lagi tempoh perpecahan yang melibatkan pencerobohan asing oleh Hyksos di Asia Barat.