Kesufian

Rumi (1207-1273), ahli sufi dan pemuisi

Kesufian (Jawi: کصوفين) atau tasawuf (Jawi: تصوف, pinjaman bahasa Arab iaitu taṣawwuf; juga عرفان; bahasa Inggeris: Sufism; ialah istilah yang diberikan kepada sebuah aliran atau tradisi pemahaman Islam yang merangkumi berbagai-bagai kepercayaan dan amalan. Antaranya ialah aspek esoterik atau mistisisme mengenai komunikasi dan dialog langsung antara penganut Islam dengan Allah. Perkataan tariqa atau tarekat digunakan oleh pengikut aliran Sufi untuk kaedah atau tradisi tertentu yang diikuti oleh seorang individu untuk mendekatkan dirinya kepada Tuhan. Unsur-unsur atau tradisi kesufian tidak terbatas kepada satu mazhab tertentu dalam agama Islam, sama ada mazhab Syiah atau Sunni, walaupun kebanyakan tokoh Sufi dalam sejarah terdiri daripada pengikut mazhab Sunni. Bahkan boleh dikatakan terdapat juga contoh pengaruh kesufian yang terdapat dalam tradisi agama yang lain. Pemikiran Sufi muncul dari Timur Tengah pada abad ke-8, tetapi penganut-penganutnya kini terdapat di seluruh dunia. Walaupun terdapat pengaruh unsur-unsur kesufian di dalam budaya, pemikiran dan pengamalan masyarakat Islam kini secara umum, pengaruh modenisasi dan kritikan segolongan ulama aliran Salafi wahabi telah menyebabkan kemorosotan pengaruh aliran-aliran kesufian dan pengurangan jumlah penganut jika dibandingkan dengan Zaman Pramoden.Sejak permulaan Abad ke-20, kedatangan beberapa pengamal kesufian ke negara-negara Barat telah menyebabkan penyebaran ajaran pemahaman Sufi dalam beberapa bentuk. Walaupun ramai pengikut kesufian di Barat telah memeluk agama Islam, ramai juga yang mengikut ajaran kesufian secara bebas (golongan New Age).

Ajaran kesufian telah memainkan peranan besar dalam pembentukan sastera di alam Islam, dan penulis golongan Sufi telah menghasilkan sejumlah besar puisi dalam bahasa Arab, Turki, Parsi, Kurd, Urdu, Punjabi, dan Sindhi yang merangkumi karya-karya Jalal al-Din Muhammad Rumi, Abdul Qader Bedil, Bulleh Shah, Amir Khusro, Shah Abdul Latif Bhittai, Sachal Sarmast, dan Sultan Bahu, serta juga banyak tradisi tarian kesalihan (umpamanya pemusingan Sufi), dan muzik seperti Qawwali.


From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Tubidy