Manga

Selembar contoh halaman dalam sesebuah manga (memaparkan watak-watak maskot Wikipe-tan, Commons-tan dan Wikiquote-tan).

Manga (disebut [man.ga]; Jepun: 漫画 manga)[1] ialah karya cerita turutan bergambar termasuk komik dan novel grafik yang dihasilkan di Jepun. Cerita-cerita ini mencakupi pelbagai genre antaranya aksi, pengembaraan, komedi, detektif, drama, sejarah, seram ghaib, misteri, romantis, sains dan fantasi, erotika, sukan, serta debaran; karya-karya ini menjadi bacaan pilihan semua lapisan umum masyarakat Jepun.[2][3] Seni ini muncul pada lewat abad ke-19[4] berdasarkan tradisi-tradisi seni yang ada diwujudkan dalam Jepun sejak berkurun-kurun.[5]

Cerita dalam sesebuah manga dikaryakan seorang pengilustrasi dan/atau penulis (mangaka) yang dibantu beberapa kakitangan dalam sebuah studio kecil serta sering berhubung dengan editor kreatif dari sesebuah syarikat penerbit komersial.[6] Karya ini biasanya dicetak secara hitam putih[7] secara bersiri dalam suatu majalah himpunan bersama karya-karya lain; majalah-majalah ini memuatkan satu bab setiap karya yang berkesinambungan dalam isu berikutnya. Kesemua bab-bab ini dihimpunkan dalam suatu jilid terbitan semula khas (tankōbon) mahupun dibukukan.[8] Jika siri manga yang dikaryakan ini menjadi cukup popular, karya tersebut boleh diberi peluang diadaptasi kepada medium lain sama ada dalam bentuk animasi (baik dalam format siri televisyen atau filem[9]) mahupun dijadikan suatu filem aksi langsung[9] baik setelah ceritanya tamat mahupun ketika cerita asalnya masih berlanjutam.[10]

Karya-karya ini sangat masyhur dengan khalayak peminat cukup signifikan di seluruh dunia[11] sehingga sering diterjemahkan ke dalam banyak bahasa.[12] Sejak tahun 1950-an, manga telah menjadi sebahagian utama industri penerbitan Jepun.[13] Pada tahun 1995, pasaran manga di Jepun bernilai ¥586.4 bilion (kira-kira US$6 – 7 bilion),[14] dengan jualan tahunan sekitar 1.9 bilion untuk manga dan majalah di Jepun (setara dengan 15 edisi seorang).[15] Pada tahun 2008, pasaran manga di Amerika Syarikat dan Kanada mencecah nilai setinggi $175 juta. Pasaran manga di Perancis pula mencecah angka 38% dalam pasaran komik negara tersebut (sekitar sepuluh kali lipat dari angka untuk Amerika Syarikat).[16] dengan nilai sekitar €460 juta ($640 juta) pada tahun 2005.[17] Di Eropah dan Timur Tengah, pasaran manga bernilai sekitar $250 juta pada tahun 2012.[18]

  1. ^ Rousmaniere 2001, halaman 54, Thompson 2007, halaman xiii, Prohl & Nelson 2012, halaman 596,Fukushima 2013, halaman 19
  2. ^ "Manga/Anime topics". MIT. Dicapai pada 22 Jun 2017.
  3. ^ Brenner, Robin E. (30 Jun 2007). Understanding Manga and Anime (dalam bahasa Inggeris). Greenwood Publishing Group. ISBN 9780313094484.
  4. ^ Lent 2001, halaman 3–4, Gravett 2004, halaman 8
  5. ^ Kern 2006, Ito 2005, Schodt 1986
  6. ^ Kinsella 2000
  7. ^ Katzenstein & Shiraishi 1997
  8. ^ Gravett 2004, halaman 8, Schodt 1986
  9. ^ a b Johnston-O'Neill 2007
  10. ^ Kittelson 1998
  11. ^ Wong 2006, Patten 2004
  12. ^ Gravett 2004, halaman 8
  13. ^ Kinsella 2000, Schodt 1996
  14. ^ Schodt, Frederik (1996). Dreamland Japan: Writings on Modern Manga. Berkeley, CA: Stone Bridge Press. m/s. 19–20. ISBN 978-1-880656-23-5.
  15. ^ "Manga, anime rooted in Japanese history". The Indianapolis Star (dalam bahasa Inggeris). 2 Agustus 1997. Check date values in: |date= (bantuan)
  16. ^ Bouissou, Jean-Marie (2006). "JAPAN'S GROWING CULTURAL POWER: THE EXAMPLE OF MANGA IN FRANCE". Dicapai pada 24 Mei 2019.
  17. ^ "The Manga Market : Eurasiam – Japanese art & communication School". Eurasiam (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 22 Jun 2017.
  18. ^ Davidson, Danica (26 Januari 2012). "Manga grows in the heart of Europe". CNN. Turner Broadcasting System, Inc. Dicapai pada 29 Januari 2012.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Tubidy