Peristiwa Pengoksidaan Besar (PPB) atau Peristiwa Pengoksigenan Besar, juga dikenali sebagai Bencana Oksigen, Revolusi Oksigen, Krisis Oksigen atau Malapetaka Oksigen[2] merupakan suatu tempoh masa pada era Paleoproterozoik apabila atmosfera dan lautan cetek di Bumi mula mengalami peningkatan dari segi kepekatan oksigen.[3] Perkara ini mula berlaku kira-kira 2.460–2.426 Ga (bilion tahun) dahulu semasa tempoh Sideros dan berakhir kira-kira 2.060 Ga lalu semasa tempoh Riasia.[4] Bukti-bukti geologi, isotop, dan kimia menunjukkan bahawa bentuk molekul oksigen yang terhasil secara biologi (dioksigen atau O2) mula terkumpul di atmosfera Bumi dan mengubah sifat atmosfera daripada atmosfera berpenurun lemah kepada atmosfera beroksida,[5] dengan tahap oksigen setinggi 10% daripada paras atmosfera semasa menjelang akhir PPB.[6]
Suntikan oksigen bebas yang sangat reaktif secara tiba-tiba pada atmosfera Bumi adalah bersifat toksik terhadap biosfera anaerob pada ketika itu. Hal ini mungkin telah menyebabkan kepupusan pelbagai organisma di Bumi, yang kebanyakannya merupakan koloni-koloni organisma arkea. Koloni-koloni tersebut menggunakan retinaldehid untuk menyerap tenaga cahaya pada spektrum hijau dan menjana tenaga melalui fotosintesis anoksigen (sila lihat hipotesis Bumi Ungu). Walaupun peristiwa tersebut disimpulkan telah membentuk suatu peristiwa kepupusan besar-besaran,[7] namun disebakan oleh kesukaran besar dari segi peninjauan terhadap kelimpahan organisma mikroskop di samping usia saki-baki fosil yang terlalu ekstrim, Peristiwa Pengoksidaan Besar biasanya tidak diletakkan di bawah senarai "kepupusan besar-besaran" konvensional yang secara tersirat terhad kepada peristiwa pada eon Fanerozoik. Walau apa pun, data geokimia isotop daripada mineral sulfat telah memberikan tafsiran yang menunjukkan pengurangan >80% saiz biosfera yang dikaitkan dengan perubahan bekalan nutrien pada penghujung PPB.[8]
PPB ditafsir berpunca daripada sianobakteria yang menjalankan fotosintesis berasaskan porfirin sehingga menghasilkan dioksigen sebagai bahan sampingan. Paras oksigen yang semakin meningkat akhirnya mengurangkan kapasiti penurunan sebatian ferus, hidrogen sulfida dan metana atmosfera, ditambah pula dengan pengglasieran berperingkat global, maka berlakunya pemusnahan tikar mikrob di serata permukaan Bumi. Organisma arkea yang masih hidup kemudiannya menyesuaikan diri mereka melalui penjalinan hubungan simbiogenesis dengan organisma proteobakteria aerob (yang menjadi endosimbion dan berevolusi menjadi mitokondria) mungkin telah membawa kepada kebangkitan organisma eukariot serta evolusi bentuk kehidupan multisel yang seterusnya.[9][10][11]
^Sosa Torres, Martha E.; Saucedo-Vázquez, Juan P.; Kroneck, Peter M.H. (2015). "The Magic of Dioxygen". Dalam Kroneck, Peter M.H.; Sosa Torres, Martha E. (penyunting). Sustaining Life on Planet Earth: Metalloenzymes Mastering Dioxygen and Other Chewy Gases. Metal Ions in Life Sciences volume 15. 15. Springer. m/s. 1–12. doi:10.1007/978-3-319-12415-5_1. ISBN978-3-319-12414-8. PMID25707464.