Sejarah Malaysia

Dalam konteks sejarah Malaysia (سجاره مليسيا), walaupun nama "Malaysia" merupakan sebuah konsep moden yang baru diciptakan pada separuh kedua abad ke-20, Malaysia kontemporari tetap menganggap keseluruhan sejarah Tanah Melayu dan Borneo, merangkumi ribuan tahun yang lalu termasuk zaman prasejarah, sebagai sejarahnya tersendiri.[1]

Catatan awal Barat mengenai negara ini bermula sejak orang-orang Yunani seperti Cladius Ptolemy menamakan semenanjung yang terdapat di negara ini sebagai Semenanjung Emas (kini digelar Semenanjung Malaysia) atau "Golden Khorsenese" di dalam buku Geographia yang ditulisnya pada sekitar 150 M.[2] Agama Hindu dan Buddha dari India dan China masing-masing mendominasi sejarah awal negara ini dan mencapai kemuncaknya semasa pemerintahan kerajaan Srivijaya yang berpusat di Palembang, Sumatera, Indonesia, yang mempunyai pengaruh yang meluas di seluruh Sumatera sendiri, Jawa, Indonesia, Semenanjung Tanah Melayu dan sebahagian besar Borneo dari abad ke-7 hingga ke-17.

Walaupun kedatangan Islam di Semenanjung Tanah Melayu telah berlaku seawal abad ke-10, agama tersebut mula mengukuhkan kedudukannya di Tanah Melayu pada abad ke-14. Penerapan Islam pada abad ke-14 telah menyaksikan kebangkitan kesultanan-kesultanan, yang paling menonjol ialah Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Brunei. Islam sememangnya mempunyai pengaruh yang mendalam terhadap orang Melayu.

Pada tahun 1511, Melaka telah berjaya ditawan oleh Portugis yang merupakan kuasa penjajah Eropah pertama yang mengukuhkan kedudukan mereka di Semenanjung Tanah Melayu dan Asia Tenggara. Kemudian, Melaka ditawan oleh Belanda pada tahun 1641. Akhirnya, British yang asalnya menubuhkan pangkalannya di Jesselton, Kuching, Pulau Pinang dan Singapura, memperoleh hegemoni mereka di seluruh wilayah Tanah Melayu melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Perjanjian tersebut menetapkan sempadan antara Tanah Melayu British dan Hindia Timur Belanda (yang menjadi Indonesia). Kemudian, Perjanjian Inggeris-Siam 1909 pula menetapkan sempadan antara Tanah Melayu British dan Siam (yang menjadi Thailand). Fasa keempat pengaruh asing ialah kemasukan buruh-buruh dari negara China dan India untuk memenuhi keperluan ekonomi kolonial yang dicipta oleh British di Semenanjung Tanah Melayu dan Borneo.[3]

Pencerobohan Jepun ketika Perang Dunia Kedua mengakhiri penguasaan British di Tanah Melayu setelah pentadbiran British di Singapura menyerah kalah secara rasmi terhadap Jepun. Pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak dari tahun 1942 hingga 1945 memekarkan lagi semangat nasionalisme dalam kalangan penduduk tempatan. Setelah Jepun berundur dari Tanah Melayu selepas dikalahkan oleh pihak Pihak Berikat, Malayan Union ditubuhkan pada tahun 1946 oleh pentadbiran British. Ekoran daripada penentangan oleh orang Melayu, yang diketuai oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), penubuhan itu disusun semula sebagai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 sebagai sebuah protektorat hingga tahun 1957. Di Semenanjung Tanah Melayu, Parti Komunis Malaya melancarkan pemberontakan bersenjata untuk menentang British dan ketegangan ini menyebabkan pengisytiharan darurat selama 12 tahun dari 1948 hingga 1960. Tindak balas ketenteraan yang serius terhadap pemberontakan komunis sepanjang tempoh darurat serta Rundingan Baling pada tahun 1955 membawa kepada kemerdekaan di Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 yang dicapai secara diplomatik melalui rundingan dengan British. Tunku Abdul Rahman menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama ketika itu. Pada tahun 1960, darurat ditamatkan setelah ancaman tentera gerila komunis semakin berkurangan dan pengunduran mereka ke sempadan di antara Tanah Melayu dengan Thailand.

Pada 16 September 1963, Persekutuan Malaysia ditubuhkan berikutan penggabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak. Bagaimanapun, pada bulan Ogos 1965, Singapura telah disingkirkan daripada persekutuan dan menjadi sebuah negara merdeka yang berasingan. Konfrontasi dengan Indonesia turut berlaku pada awal 1960-an berikutan pembetukan Malaysia. Rusuhan kaum pada tahun 1969 iaitu Peristiwa 13 Mei membawa kepada pelaksanaan darurat, penggantungan parlimen, penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) serta pembentukan Rukun Negara oleh MAGERAN pada tahun 1970 yang menjadi ideologi kebangsaan bagi mendorong perpaduan dalam kalangan rakyat.[4][5] Dasar Ekonomi Baru juga telah diperkenalkan pada tahun 1971 yang digunakan hingga tahun 1991 bagi membasmi kemiskinan serta menyusun semula masyarakat untuk menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.[6]

Ketika pemerintahan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, berlaku pertumbuhan ekonomi dan urbanisasi yang pesat di negara ini mulai zaman 1980-an. Ekonomi berubah daripada berasaskan pertanian kepada berasaskan pembuatan dan perindustrian.[7] Di bawah pemerintahan beliau, dasar ekonomi sebelumnya telah digantikan oleh Dasar Pembangunan Nasional (NDP) dari tahun 1991 hingga 2000.[8] Krisis kewangan Asia lewat 1990-an memberi kesan kepada negara, hampir menyebabkan pasaran mata wang, saham dan hartanah negara jatuh; namun, kemudiannya pulih.[9]

Sejak tahun 1973, gabungan Barisan Nasional telah memerintah Malaysia sehingga kekalahannya dalam pilihan raya umum Malaysia 2018 kepada gabungan Pakatan Harapan (PH).[10] Pada awal tahun 2020, Malaysia mengalami kemelut politik yang mengakibatkan kejatuhan pentadbiran PH dan pembentukan gabungan Perikatan Nasional (PN).[11] Pada tempoh yang sama, Malaysia turut dibelenggu pandemik COVID-19 yang membawa kesan kesihatan, ekonomi, sosial dan politik yang serius kepada negara tersebut.[12][13] Pilihan raya umum Malaysia 2022 menyaksikan situasi parlimen tergantung yang pertama dalam sejarah negara[14][15] dan Anwar Ibrahim, seorang reformis lama, menjadi perdana menteri Malaysia pada 24 November 2022 untuk memerintah kerajaan campuran.[16][17]

  1. ^ Sari: Jurnal Institut Bahasa, Kesusateraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Volumes 5-10
  2. ^ Wheatly, P. (1958). Imago Mvndi. Stockholm: Brill Archive. m/s. 71.
  3. ^ Annual Report on the Federation of Malaya: 1951 in C.C. Chin and Karl Hack, Dialogues with Chin Peng pp. 380, 81.
  4. ^ Othman, Al-Amril; Ali, Mohd Nor Shahizan (2018-09-29). "Misinterpretation on Rumors towards Racial Conflict: A Review on the Impact of Rumors Spread during the Riot of May 13, 1969". Jurnal Komunikasi: Malaysian Journal of Communication (dalam bahasa Inggeris). 34 (3). ISSN 2289-1528.
  5. ^ Esa, Mohd Sohaimi; Ationg, Romzi (2020-12-02). "Majlis Gerakan Negara (MAGERAN): Usaha Memulihkan Semula Keamanan Negara Malaysia". Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (dalam bahasa Inggeris). 5 (12): 170–178. ISSN 2504-8562.
  6. ^ Jomo, K. S. (2005). Malaysia's New Economic Policy and 'National Unity (dalam bahasa Inggeris). Palgrave Macmillan. m/s. 182–214. doi:10.1057/9780230554986_8. ISBN 978-1-349-52546-1. Dicapai pada 24 September 2020.
  7. ^ Spaeth, Anthony (9 December 1996). "Bound for Glory". Time. New York. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 March 2009. Dicapai pada 20 August 2011.
  8. ^ Isa, Mohd Ismail (2020-07-20). "EVOLUTION OF WATERFRONT DEVELOPMENT IN LUMUT CITY, PERAK, MALAYSIA". PLANNING MALAYSIA. 18 (13). doi:10.21837/pm.v18i13.778. ISSN 0128-0945.
  9. ^ Ping Lee Poh; Yean Tham Siew. "Malaysia Ten Years After The Asian Financial Crisis" (PDF). Thammasat University. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 1 April 2010. Dicapai pada 25 July 2011.
  10. ^ "Mahathir sworn in as Malaysia's 7th prime minister". Singapore Straits Times. 10 May 2018. Dicapai pada 11 May 2018.
  11. ^ Cheng, Harrison (3 March 2020). "Malaysia's new prime minister has been sworn in — but some say the political crisis is 'far from over'". CNBC. Dicapai pada 21 October 2020.
  12. ^ "Malaysia's GDP shrinks 5.6% in COVID-marred 2020". Nikkei Asia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-07-31. Dicapai pada 2021-08-06.
  13. ^ "Malaysia's Political Crisis Is Dooming Its COVID-19 Response". Council on Foreign Relations. Dicapai pada 2021-09-02.
  14. ^ Auto, Hermes (2022-08-22). "Umno meetings expose rift between ruling party's leaders | The Straits Times". www.straitstimes.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-01-22.
  15. ^ "Malaysia elects first ever hung parliament". BBC News (dalam bahasa Inggeris). 2022-11-20. Dicapai pada 2022-11-25.
  16. ^ Mayberry, Kate. "Anwar sworn in as Malaysia's PM after 25-year struggle for reform". www.aljazeera.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-04-22.
  17. ^ "Anwar Ibrahim sworn in as Malaysian PM after post-election deadlock". BBC News (dalam bahasa Inggeris). 2022-11-24. Dicapai pada 2023-04-22.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Tubidy