Stadium Olimpik

Stadium Olimpik ialah nama yang lazimnya diberikan kepada stadium utama yang menganjurkan Sukan Olimpik. Stadium-stadium ini biasanya juga akan menganjurkan upacara pembukaan dan penutupan. Kebanyakan stadium ini (tetapi bukan semua) mempunyai perkataan Stadium Olimpik dalam nama mereka, seperti stadium di Amsterdam, Berlin, Helsinki dan Paris. Sebuah stadium pelbagai guna yang pernah menganjurkan acara Olimpik juga boleh dinamakan Stadium Olimpik.[1]

Dalam Sukan Olimpik Musim Panas, pertandingan olahraga dan perlawanan akhir bola sepak biasanya akan diadakan di Stadium Olimpik. Pengecualian terhadap tradisi ini pernah berlaku dalam Sukan Olimpik Musim Panas 1900, 1996 dan 2016 serta Sukan Olimpik Remaja 2010 dan 2018. Edisi-edisi awal Sukan Olimpik Musim Sejuk biasanya menjadikan tempat pertandingan luncur ais berbunga sebagai stadium utama dan stadium tersebut biasanya akan dikenali sebagai Stadium Olimpik serta menganjurkan upacara pembukaan dan penutupan.

Beberapa stadium telah menganjurkan lebih daripada satu Sukan Olimpik. Misalnya, Lysgårdsbakken merupakan stadium utama bagi satu edisi Sukan Olimpik Musim Sejuk dan satu edisi Sukan Olimpik Remaja (YOG) Musim Sejuk. Bergiselschanze pula menganjurkan dua edisi Musim Sejuk dan satu YOG Musim Sejuk. Olympiahalle telah berkongsi peranan Stadium Olimpik bersama dengan Bergiselschanze semasa kedua-dua edisi Sukan Olimpik, tetapi bukan semasa YOG Musim Sejuk. Hanya stau stadium, Los Angeles Memorial Coliseum, pernah menjadi stadium utama bagi dua Sukan Olimpik Musim Panas (dan akan menganjurkannya buat kali ketiga pada 2028). Selain daripada menganjurkan Sukan Olimpik yang pertama, Panathinaiko Stadio juga pernah menganjurkan satu-satunya edisi Sukan Bersilang (Intercalated Games). Stadium Nasional di Tokyo merupakan stadium utama semasa Sukan Olimpik 1964 (edisi pertama Asia), stadium tersebut juga merupakan stadium utama semasa Sukan Olimpik 2020, namun kerajaan Jepun telah memutuskan untuk merobohkannya dan membina satu stadium yang baharu. Stadium Nasional Beijing merupakan stadium pertama yang menganjurkan edisi Musim Panas dan Musim Sejuk.

Beberapa stadium, termasuklah Panathinaiko Stadio, telah menganjurkan acara lain dalam Sukan Olimpik yang seterusnya. Sukan Olimpik 2012 tidak dibuka dan ditutup di Stadium Wembley yang pernah mengadakan Sukan Olimpik 1948, namun stadium itu telah mengadakan beberapa perlawanan bola sepak semasa temasya tersebut. Begitu juga dengan Melbourne Cricket Ground, yang merupakan stadium utama semasa edisi 1956, dan kemudiannya menganjurkan perlawanan bola sepak semasa Sydney 2000. Stadium Olimpik 1932 Lake Placid telah menganjurkan acara luncur laju semasa 1980. Olympiahalle telah menganjurkan acara luncur ais berbungan dan luncur laju balapan pendek semasa YOG Musim Sejuk 2012. Stadium Olimpik Stockholm telah mengadakan acara ekuestrian bagi Sukan Olimpik 1956 (semasa edisi 1956 diadakan di Melbourne, Australia, sekatan kuarantin yang dilaksanakan menghalangkan acara ekuestrian daripada dianjurkan di situ, oleh itu Stockholm, Sweden telah menganjurkan pertandingan ekuestrian 1956).

  1. ^ Olympic Stadium (dalam bahasa Rusia) Diarkibkan 13 Mac 2014 di Wayback Machine. Big Olympic Encyclopedia. Moscow 2006.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Tubidy