Tenaga nuklear

Loji Kuasa Nuklear Ikata ialah reaktor nuklear yang dibina berdekatan dengan laut yang berfungsi sebagai penyejuk sekunder.
Tiga kapal laut tentera Amerika Syarikat ini menggunakan tenaga nuklear.

Tenaga nuklear ialah tenaga yang dibebaskan melalui tindakbalas nuklear terkawal untuk menjana tenaga elektrik. Loji kuasa nuklear menjana elektrik menggunakan reaktor nuklear untuk memanaskan air sehingga menjadi wap. Wap yang terhasil memutarkan turbin yang menjana tenaga elektrik.

Tenaga nuklear ditemui oleh ahli fizik Perancis bernama Henri Becquerel pada tahun 1896, ketika beliau mendapati bahawa kepingan filem fotografi yang disimpan dalam tempat gelap berdekatan dengan sampel uranium telah berubah menjadi hitam, seperti yang berlaku apabila kepingan tersebut terdedah kepada sinar X, yang baru sahaja ditemui pada tahun 1895.[1]

Tenaga nuklear dibebaskan melalui tiga proses, iaitu reputan radioaktif, pembelahan nuklear dan pelakuran nuklear. Ketiga-tiga proses ini boleh berlaku secara semulajadi[2], namun hanya pembelahan dan pelakuran nuklear sahaja yang boleh dikawal bagi menjana tenaga elektrik dengan efisen. Reputan radioaktif boleh digunakan untuk menjana tenaga elektrik yang sedikit sahaja menggunakan penjana termoelektrik radioisotop namun, kuantiti tenaga yang dihasilkan tidak boleh dikawal.

  1. ^ Henri Becquerel, The Nobel Prize in Physics 1903
  2. ^ Meshik, Alex P. "The Workings of an Ancient Nuclear Reactor". Scientific American (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-09-09.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Tubidy