Tetragramaton

Tetragramaton dalam bahasa Fenisia (abad ke-12 SM hingga 150 SM), tulisan Ibrani Kuno (abad ke-10 SM hingga 135 TM), dan aksara bahasa Ibrani cetakan (abad ke-3 SM hingga kini)

Tetragramaton (daripada Yunani Kuno τετραγράμματον, bermaksud "[terdiri daripada] empat huruf"; Jawi: تتراڬراماتون) ialah salah satu nama Tuhan dalam Alkitab Yahudi yang ditulis dengan empat huruf, יהוה. Empat huruf Tetragramaton yang dieja dan dibaca dari kanan ke kiri dalam tulisan Ibrani ialah י (yod) ה (he) ו (vav) ה (he) atau יהוה (YHWH).[1] Nama ini mungkin adalah terbitan kata kerja "jadi", "wujud", sebabkan menjadi", atau "berlaku".[2] Nama peribadi bagi Tuhan orang Israel ini juga dilafazkan sebagai Yahweh dan juga Yehovah/Jehovah/Yehuwa.[3][4] Di dalam Alkitab Malaysia, seperti Alkitab Versi Borneo dan Alkitab Berita Baik, ia digayakan menjadi Tuhan.

Kitab-kitab daripada Taurat dan Alkitab Ibrani, kecuali Ester, Pengkhutbah dan Kidung Agung (jika mengambil kira bentuk pendek יה‎ 'Yah' dalam ayat 8:6) ada menggunakan nama Ibrani ini. Penganut Yahudi yang bertakwa dan mengikut tradisi membaca Talmud tidak akan menyebut יהוה ataupun melafazkan bentuk alih tulisnya seperti Yahweh atau Yehovah; mereka sebaliknya akan menggantikan nama tersebut dengan kata ganti nama lain Tuhan, tidak kira jika hendak bercakap dengan atau hanya bercakap tentang Tuhan bani Israel. Antara kata ganti nama yang lain dalam Ibrani ialah אֲדֹנָי (Adonai, terj. harf. Tuhan-tuhanku, bentuk jamak digunakan sebagai tunggal untuk menunjukkan kebesaran yang diujarkan) atau Elohim (secara harfiah "tuhan-tuhan" tetapi dianggap sebagai tunggal apabila memaksudkan "Tuhan") dalam doa, atau ha-Syem ("Sang Nama" atau "Nama-Nya") dalam percakapan seharian.

  1. ^ Perkataan "tetragramaton" berasal daripada tetra "empat" + γράμμα gramma (gen. grammatos) "huruf" "Online Etymology Dictionary". Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Oktober 2007. Dicapai pada 23 Disember 2007.
  2. ^ Kitz, Anne Marie (2019). "The Verb *yahway". Journal of Biblical Literature. 138 (1): 39–62. doi:10.15699/jbl.1381.2019.508716.
  3. ^ Botterweck, G. Johannes; Ringgren, Helmer, penyunting (1986). Theological Dictionary of the Old Testament. 5. Diterjemahkan oleh Green, David E. William B. Eerdmans Publishing Company. m/s. 500. ISBN 0-8028-2329-7. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Januari 2021. Dicapai pada 19 Mei 2020.
  4. ^ Valentin, Benjamin (2015). Theological Cartographies: Mapping the Encounter with God, Humanity, and Christ. Westminster John Knox Press. m/s. 16. ISBN 978-1-61164-553-8.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Tubidy